PETALING JAYA: Salah seorang daripada dua beradik lelaki yang ditemukan selepas hilang sejak 1 Januari lalu mendakwa dikurung dalam sebuah motel di Jalan Petaling dekat sini oleh individu tidak dikenali.
Malah, remaja berusia 17 tahun itu mendakwa telah diperlakukan dengan perkara-perkara ` tidak baik’ sepanjang dikurung bersama adiknya sebelum kemudian dipisahkan pada 9 Januari lalu.
Bagaimanapun, remaja tersebut berjaya melarikan diri sebelum ditemukan dalam keadaan tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni dekat sini pada malam, 11 Januari lalu.
Mengimbas semula kehilangan anak-anaknya itu, ibu mangsa, Fara Zulkifli, 39, berkata, anak sulungnya atau lebih mesra dipanggil Along mendakwa telah keluar dari rumah bersama adiknya (Angah) untuk ke Kuala Lumpur pada 1 Januari lalu.
Katanya, kedua-dua beradik yang bersekolah di sebuah pusat tahfiz di Tanjung Malim dekat sini menaiki komuter dari stesen di daerah tersebut menuju ke KL Sentral dengan alasan untuk berjumpa dengan individu dikenali sebagai ‘Black’ berkaitan bayaran gaji.
“Along dan Angah naik komuter untuk jumpa Black sebab dia janji nak bayar gaji hasil niaga buah namun apabila sampai di sana, mereka tidak dapat jumpa individu tersebut (Black).
“Pada petang hari sama, mereka terjumpa dengan lelaki tidak dikenali di sekitar Jalan Petaling sebelum dibawa dan dikurung di sebuah motel berhampiran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Cerit Fara, anaknya mendakwa telah dikurung bersama adiknya sehingga 9 Januari sebelum dipisahkan selain diperlakukan tidak baik oleh individu berkenaan.
MELARIKAN
Kata wanita itu, anak sulungnya bagaimanapun berjaya melarikan diri ketika lelaki yang menjaganya tertidur dan turut berjaya melarikan telefon bimbit milik lelaki itu.
“Sejurus selepas melarikan diri, Along terus menghubungi menggunakan telefon bimbit berkenaan untuk memaklumkan keberadaannya dan dia kemudian menelefon pihak polis bagi memaklumkan perkara itu.
“Along kemudian membawa polis ke tempat dia dikurung dan saya difahamkan seorang lelaki telah ditahan berhubung kehilangan kedua-dua anak saya itu,” ujarnya.
Katanya, anaknya kini dalam keadaan trauma dan tidak stabil akibat insiden tersebut.
“Saya berharap Angah dapat ditemukan secepat mungkin,” katanya.
Pada 4 Januari lalu media melaporkan dua beradik lelaki, masing-masing berusia 16 dan 17 tahun dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya, Hulu Selangor, pada pagi 1 Januari lepas.
Kedua-dua remaja dilaporkan hilang selepas pulang dari solat Subuh di sebuah surau di kawasan perumahan mereka di Taman Bernam Jaya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim ketika dihubungi hari ini mengesahkan tangkapan itu namun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuka kertas siasatan berhubung berkaitan kes amang seksual. – UTUSAN