Seorang lagi ditahan berkait sindiket syabu terbesar di Sabah

Seorang lagi ditahan berkait sindiket syabu terbesar di Sabah

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lagi suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dadah jenis syabu terbesar di Sabah yang ditumpaskan polis, baru-baru ini.

Suspek yang merupakan pegawai agensi penguat kuasa berusia 43 tahun yang bertugas di Lembah Klang ditahan pada 29 Disember lalu dan menjadikan 11 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung sindiket itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai transporter bagi sindiket terbabit.

“Suspek sebelum ini pernah bertugas di Sabah. Dengan tangkapan ini menjadikan keseluruhan tangkapan (mengikut) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) seramai 11 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bukit Aman di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Ayob Khan tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan baharu, namun buat masa ini operasi dan siasatan masih berjalan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu,  polis turut menyita dan merampas pelbagai aset dan akaun bank milik anggota sindiket berkenaan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jelas beliau, setakat ini sebanyak 22 akaun bank telah dibekukan membabitkan nilai RM420,000 manakala 18 kenderaan disita bernilai RM6.6 juta yang kebanyakannya kenderaan mewah.

“Kita turut merampas wang tunai RM35,000 serta barang kemas dan jam mewah dianggarkan RM100,000.

“Pihak polis juga akan berkolaborasi dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan aset-aset semua anggota sindiket ini diambil tindakan mengikut AMLATFPUAA.

Pada 26 Disember lalu, media melaporkan,  Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah dipercayai bergiat aktif sejak 2015.

Modus operandi sindiket pengedaran dadah itu adalah mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran seterusnya dibawa ke Sabah menggunakan syarikat penerbangan komersial dan kiriman kargo laut.

Bekalan dadah akan disimpan di Sabah sebelum diagihkan kepada pengedar dan turut diseludup kepada pembeli di Indonesia dan Filipina. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya