KUANTAN: Banjir yang melanda pekan Sungai Lembing sejak semalam, turut menjejaskan penternakan lembu di sekitar Bukit Danau, dekat sini.
Seorang penternak lembu menceritakan detik cemas apabila dia terpaksa memindahkan kira-kira 60 ekor lembu ternakannya ke tempat selamat apabila paras air menaik secara mendadak.
Azhar Abdullah, 40, berkata, sejak Disember tahun lalu, banjir yang berlaku semalam merupakan gelombang ketiga berlaku pada musim tengkujuh kali ini.
“Macam semalam (Rabu), air mula naik dalam pukul 2 pagi, kita memang sudah kurung lembu-lembu di satu kawasan tapi tidak sangka kawasan tersebut pun turut ditenggelami air.
“Semua lembu saya ada 60 ekor jadi dengan bantuan kawan-kawan saya pindahkan lembu-lembu lebih awal ke tempat lebih tinggi dan selamat.
“Alhamdulillah… kali ini tidak rugi banyak kerana semua berjaya dipindahkan, cuma hanya seekor anak lembu mati kesejukan. Kebiasaannya pada musim hujan memang itu risikonya (anak lembu mati),” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Danau, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Azhar berkongsi cerita, katanya, ketika musim tengkujuh dua tahun lalu, dianggar lebih 20 ekor lembu peliharaannya dihanyutkan arus banjir.
Katanya, dalam tragedi tersebut hanya enam ekor sahaja berjaya diselamatkan.