Sembilan bayi tahun baharu dilahirkan di HTJ Seremban - Utusan Malaysia

Sembilan bayi tahun baharu dilahirkan di HTJ Seremban

JURURAWAT bersama sebahagian bayi yang dilahirkan pada permulaan tahun baharu 2024
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sembilan ibu berkongsi kegembiraan apabila melahirkan bayi masing-masing pada tarikh istimewa permulaan tahun baharu 2024 di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban di sini hari ini. 

Bagi Ruzanna Abd. Razak 28, dari Lubuk Cina, Rembau, dia tidak menyangka melahirkan bayi lelakinya pada hari ini kerana tarikh dijangka bersalin adalah pada 6 Januari ini.

Katanya, dia bersyukur kerana melahirkan anak sulung seberat 3.7 kilogram secara normal. 

“Gembira sangat, bayi lelaki yang ditunggu-tunggu lahir sebagai bayi tahun baharu pada jam 5 pagi tadi. Proses melahirkan (bayi) tiada masalah. Saya mula rasa sakit pada 12 tengah malam tadi dan menahan kesakitan sehingga jam 5 pagi. 

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan untuk kelahiran bayi pertama ini dan kelahiran anak ini akan memberi makna yang amat berharga buat saya dan suami,  kerana tarikh ini amat mudah diingati,” katanya yang merupakan pekerja di sebuah kilang.

Perasaan sama turut dikongsi S. Sagunthala 33, dari Seremban apabila menimang cahaya mata perempuan sulung pada jam 3.45 pagi tadi.

“Sepatutnya tarikh dijangka bersalin semalam tetapi ditakdirkan dia lahir hari ini dan jadi bayi tahun baharu,” katanya yang memberitahu terpaksa menahan kesakitan selama 12 jam untuk kelahiran tersebut.

Kata Sagunthala, gembiranya berganda dengan kelahiran bayi seberat 3.4  kilogram itu yang dilahirkan secara normal dan berada dalam keadaan sihat itu selepas 10 tahun berkahwin.

Terdahulu, kesemua bayi bertuah berkenaan menerima cenderahati yang disampaikan Ahli Lembaga Pelawat HTJ yang membuat kunjungan bagi meraikan bayi tahun baharu 2024.

Sementara itu, Ketua Jururawat M. Jayalachumi berkata, sembilan bayi bertuah dilahirkan pada tahun baharu 2024 di HTJ bermula pukul 1 pagi tadi.

“Sehingga jam 9 pagi, HTJ menerima seramai lima bayi lelaki dan empat bayi perempuan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat HTJ, Siti Salwany Abu Hassan berkata, ini merupakan program pertama bagi lantikan baharu ahli lembaga pelawat hospital itu bagi tempoh 2023 hingga 2026.

“Hari ini, kami berkesempatan membuat lawatan meraikan bayi tahun baharu 2024 dengan menyampaikan 30 cenderahati dan juga turut menyampaikan 20 cenderahati kepada pesakit warga emas,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya