Sekretariat GiG sedia jadi orang tengah selesai isu pekerja e-hailing, p-hailing - Mohd. Sharkar - Utusan Malaysia

Sekretariat GiG sedia jadi orang tengah selesai isu pekerja e-hailing, p-hailing – Mohd. Sharkar

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sekretariat Forum GiG Ekonomi Malaysia (NGO) sedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan isu-isu yang dihadapi penggiat industri GiG seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, tugas itu sedia digalas sekretariat terbabit sehingga kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) atau badan kawal selia bagi menambah baik perlindungan sosial dan kebajikan pekerja industri p-hailing serta e-hailing.

Menurutnya, SEGiM atau badan kawal terbabit perlu segera diwujudkan bagi menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi industri GiG bermula daripada penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja dan pengguna.

“Penubuhan segera SEGiM atau badan kawal selia ini perlu dalam usaha menyelesaikan pelbagai isu berbangkit dihadapi pekerja penghantar makanan.

“Apabila ada pihak yang dapat mengawal selia perkhidmatan p-hailing, saya yakin isu-isu yang timbul dalam industri ini, insya-Allah akan dapat diselesaikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ‘Kempen Grab Blackout’ anjuran pemandu rider Grab di seluruh negara, semalam.

Kempen itu dianjurkan pemandu e-hailing bagi menuntut hak mereka yang mendakwa harga penghantaran yang ditetapkan terlalu murah.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, khidmat penghantaran makanan secara dalam talian begitu penting dan permintaan untuk mendapatkan servis para penghantar makanan meningkat dengan ketara terutama selepas penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata, khidmat rider ini tidak terhad kepada makanan sahaja bahkan juga perkhidmatan berkaitan seperti membeli dan menghantar barangan keperluan harian.

“Penghantar p-hailing ini adalah tulang belakang bagi ekonomi GiG dengan ramai pihak yang bergantung kepada perkhidmatan mereka.

“Disebabkan perkhidmatan yang dilaksanakan oleh merekalah, banyak isi rumah boleh memesan makanan dan ada peniaga yang sepenuhnya bergantung kepada khidmat mereka bagi menghantar makanan,” katanya.

Jadi beliau berkata, kerajaan perlu menyelesaikan pelbagai isu dihadapi golongan itu antaranya kadar upah murah supaya industri ini tidak terhenti dan pihak yang bergantung harap kepada perkhidmatan p-hailing tidak berdepan kesukaran.

“Kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk menjamin kebajikan dan kehidupan rider. Mereka cuma hendak diiktiraf dalam pekerjaan yang diceburi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya