PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap dengan pelantikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu dapat menyegerakan pelaksanaan skim upah lebih adil dan munasabah untuk penjawat awam.
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, pelantikan Datuk Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mampu menerajui JPA dan perkhidmatan awam itu sendiri ke arah yang lebih baik selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
“CUEPACS berharap pelantikan beliau mampu mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan kakitangan kerajaan terutama melibatkan peringkat pengurusan tertinggi dan kumpulan pekerja sokongan.
“Hubungan antara kakitangan tidak kira jawatan haruslah dijaga dengan baik kerana kerjasama kukuh akan diterjemahkan melalui kualiti perkhidmatan cemerlang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Oleh itu, menurut Adnan, CUEPACS berharap hubungan yang baik antara pegawai tertinggi dan kakitangan terus dipupuk bagi memastikan kualiti perkhidmatan awam sentiasa dapat ditingkatkan selaras dengan kebajikan warganya.
Tambahnya, beliau juga menyeru semua penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan demi negara tercinta.
Jelas beliau, sebagai penjawat awam, mereka perlu menunjukkan profesionalisme melalui sikap dan tindakan yang mencerminkan integriti, kecekapan dan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat.
“Mereka harus menghindari konflik kepentingan dan bertindak dengan kejujuran dalam setiap aspek kerja dan cekap dalam melaksanakan tugas dengan efisien dan efektif,” ujarnya. – UTUSAN