JERANTUT: Penantian selama 40 tahun kira-kira 292 peneroka Felda Jengka 24 di sini berakhir apabila menerima suratan hak milik tanah rancangan masing-masing semalam.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, selain sebak dan gembira, warga peneroka berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kerana merealisasikan impian mereka.
“Mengimbau kembali dilema seorang peneroka, sudah pasti kami sentiasa memikirkan manfaat yang akan diterima atas apa yang diusahakan. Sebagai peneroka, sudah pasti memiliki geran hak milik tanah individu merupakan satu perkara yang terlalu besar buat kami.
“Atas sebab itu, permohonan untuk mendapatkan hak milik tanah individu sudah dikemukakan pada 2018. Alhamdulillah, barakah dari kepimpinan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy, maka kami akhirnya memperoleh apa diimpikan.
“Inilah bukti keprihatinan kerajaan negeri yang sentiasa menjiwai denyut nadi rakyat. Begini jualah momentum kepimpinan dari aliran perjuangan yang sama, bermula dengan kepimpinan Tun Abdul Razak sehingga ke Datuk Seri Wan Rosdy, kebajikan dan kebaikan peneroka sentiasa menjadi keutamaan,” katanya di Felda Jengka 24 di sini.
Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu Felda dan Suratan Hak Milik Felda Jengka 24 serta Felcra Bukit Nikmat di pekarangan Masjid Jengka 24.
Bercerita tentang Felda Jengka 24, Razak berkata, tanah rancangan itu mula dibuka pada 1977-1978 dan menerima kemasukan peneroka pada 1985-1986 membabitkan seramai 292 orang.
Jelasnya, tanah rancangan itu mempunyai keluasan 1,439.65 hektar, luas ladang 1,176.36 hektar dan 133.07 hektar luas kawasan kampung.
“Pembukaan Felda merupakan aspirasi Tun Abdul Razak iaitu ‘untuk memberi tanah kepada yang tidak bertanah, untuk memberi pekerjaan kepada yang menganggur dan pekerjaan yang baik untuk orang yang baik’,” katanya.
Beliau dalam pada itu meminta peneroka supaya sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk terus menghantar hasil melalui Felda.
“Ia penting bagi memastikan pendapatan peneroka terjamin dan rantaian ekonomi yang telah lama dibina dapat dimanfaatkan dengan kelebihan ‘situasi menang-menang’ antara peneroka dan Felda,” katanya. – UTUSAN