PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan tiada siasatan dibuat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu dibangkitkan dalam akuan bersumpah (SD) bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid pada tahun 1999.
SPRM dalam kenyataan berkata, berdasarkan rekod SPRM, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu membuka enam kertas siasatan untuk Anwar susulan SD Abdul Murad yang dikeluarkan pada 26 Oktober 1999.
Siasatan dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan terperinci dengan bantuan BNM termasuk di dalam dan luar negara seperti United Kingdom dan Singapura.
“Hasil siasatan menunjukkan tiada kes terhadap Anwar. Pada 12 Ogos 2002, enam kertas siasatan tersebut dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dan ia (AGC) memutuskan tiada pertuduhan dikenakan kepada mana-mana pihak.
“SPRM memandang serius terhadap kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sidang akhbar bertarikh 22 Januari lalu berkenaan tohmahan bahawa agensi ini tidak menjalankan siasatan terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dalam SD Abdul Murad terhadap Datuk Seri Anwar,” kata kenyataan SPRM hari ini.
Justeru, SPRM ingin menekankan bahawa dakwaan BPR atau SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap Anwar adalah tidak benar malah perkara tersebut berlaku semasa kepimpinan Dr. Mahathir.
Isnin lalu, Dr. Mahathir dalam sidang akhbar khas mempersoal kenapa hingga kini tiada siasatan dibuat terhadap SD dibuat Abdul Murad yang dibuat pada 1999.
Beliau dilaporkan berkata, Abdul Murad mendakwa Anwar ketika itu yang menjadi pembangkang mempunyai RM3 bilion dalam lebih 20 akaun bank.
“Anwar, Ahmad Zahid Hamidi, Azam Baki bukan Tun tetapi mereka tidak boleh disiasat. Anwar dihadapkan dengan tuduhan oleh Abdul Murad namun yang saya tahu tiada siasatan.
“Kenapa beliau tidak disiasat. Ini adalah akuan berkanun..begitu juga dengan kes Timbalan Perdana Menteri walaupun ada 47 kes, tiba-tiba pendakwaan dihentikan.
“Dalam kes Azam Baki, apabila beliau beli syer yang banyak dan dikatakan milik adiknya, sepatutnya adik beliau perlu disiasat,” katanya.- UTUSAN