SEREMBAN: Sempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, Yayasan Matrix Concepts meraikan 18 warga emas dari pusat jagaan warga emas, Persatuan Kebajikan Warga Usia Emas Tong Sim Seremban di sini.
Pengerusi Yayasan Matrix Concepts, Datuk Nordin Mohd. Yatib berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat pihaknya untuk menyantuni komuniti.
“Sangat sayu melihat ramai warga emas di negara ini ditinggalkan bersendirian pada usia tertentu di mana mereka harus dihargai dan dijaga.
“Kami berharap dapat memberi sedikit keceriaan kepada 18 penghuni di rumah ini kerana mereka tidak mempunyai keluarga atau ditinggalkan sendirian untuk menguruskan diri sendiri,” katanya.
Dalam majlis tersebut, Yayasan Matrix Concepts turut menyumbang RM3,000 kepada pusat jagaan warga emas berkenaan dan menyampaikan limau mandarin kepada setiap penghuni dan sukarelawan.
Nordin dalam pada itu menyatakan komitmen Yayasan Matrix Concepts terhadap tanggungjawab sosial melangkaui kejayaan perniagaan dan akan terus menyokong pelbagai komuniti dan golongan yang memerlukan. – UTUSAN