Saya rugi RM50 bilion berkhidmat kepada negara - Daim - Utusan Malaysia

Saya rugi RM50 bilion berkhidmat kepada negara – Daim

DAIM ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tun Daim Zainuddin memberitahu dia  ‘kehilangan’ RM50 bilion apabila memutuskan untuk menyertai politik dan berkhidmat kepada negara sekitar 1980-an.

“Jika saya kekal dalam perniagaan untuk mengembangkan aset ini secara aktif, nilai untuk pegangan saham cair (liquid stock holding) saya sahaja akan bernilai lebih RM50 bilion hari ini. 

“Itulah kos peribadi saya hari ini dalam keputusan menyertai kerajaan. Seperti yang ditunjukkan oleh angka-angka yang dinyatakan, keputusan saya untuk menyertai kerajaan dan berkhidmat kepada negara mendatangkan kerugian kewangan yang besar kepada diri

saya dan keluarga saya,” kata Daim yang sebelum ini turut digelar sebagai `The Silent Millionaire’.

Dedah bekas Menteri Kewangan itu, sebelum menyertai Kabinet, aset cair beliau berjumlah kira-kira RM750 juta (AS$250 juta).

Pada 2023, Forbes mengumumkan ahli perniagaan, Tan Sri Robert Kuok kekal menduduki tempat teratas dalam senarai Senarai 50 Individu Terkaya Malaysia selama lebih suku abad dengan kekayaan melebihi AS$11.8 bilion.

SEMAKAN

Perkara tersebut dimaklumkan dalam afidavit Daim atau nama penuhnya, Che Abdul Daim Zainuddin yang difailkan bersama permohonan semakan kehakimannya kelmarin bagi mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang menyiasat dan membekukan aset beliau dan keluarga termasuk syarikat, Menara Ilham Sdn. Bhd.

Daim dan keluarganya memfailkan semakan tersebut atas dakwaan SPRM tidak mempunyai asas untuk menyiasat dan membekukan asetnya serta aset ahli-ahli keluarganya yang lain.

Kata afidavit tersebut, Daim mula menceburi  perniagaan sekitar 1969 bersama seorang rakan kongsi dengan membuka syarikat pembangunan tanah, Syarikat Maluri Sdn. Bhd. yang membangunkan Taman Maluri dan Taman Bukit Maluri.

Katanya, nilaian tanah tersebut kini mencecah RM26 bilion. Sebelum menceburi perniagaan, beliau seorang peguam dan mempunyai firma sendiri iaitu Daim & Gamany dan sehingga kini masih mempunyai sijil amalan guaman.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai  Majistret di Johor Baru, dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesyen di Muar dan kemudian menjadi Timbalan Pendakwa Raya. 

DITUKAR

Daim juga pemilik bank, Malaysian French Bank sebelum ditukar nama kepada UMBC yang kini dikenali sebagai RHB.

“Saya juga mempunyai kawalan atau kepentingan besar dalam banyak syarikat induk seperti SimeUEP (sekarang Sime Darby), Guthrie, TV3, Maybank, Consplant, Cold Storage dan Nestle Malaysia. Sebanyak 10% kepentingan saya dalam Nestle Malaysia hari ini bernilai kira-kira RM3 bilion,” katanya.

Sebelum menyertai Kabinet, Daim diberitahu bahawa beliau boleh memindahkan semua pelaburannya ke dalam satu amanah buta (blind trust) namun selepas kira-kira setahun, Kabinet membuat panduan  bahawa beliau perlu melikuidasi pelaburannya dalam syarikat-syarikat induk dan UMBC.

Amanah buta ialah amanah (tryst) yang mana pemilik memberikan kuasa kepada pihak ketiga untuk mengawal amanah tersebut bagi mengelakkan berlakunya konflik kepentingan.

“Sekiranya saya telah meletakkan jumlah tersebut ke dalam suatu dana indeks S&P 500 (indeks pasaran saham) pada 1984, nilai hari ini akan melebihi RM42 bilion.

“Saya menyatakan secara berterusan  bahawa saya sentiasa memiliki aset-aset dan hartanah-hartanah di luar negara sejak 1970-an iaitu sebelum saya terlibat dalam politik, melalui aktiviti perniagaan yang sah,” katanya.

SPRM

Menurut afidavit itu lagi, Daim menyatakan beliau telah memberi kenyataan kepada SPRM pada Februari 2023 dan tidak menerima sebarang maklum balas sebelum pada 7 Jun 2023, satu Notis SPRM dikeluarkan kepada beliau dan keluarga meminta mereka memberikan maklumat semua aset dan sumber pendapatan yang dikeluarkan dari Malaysia dari tahun 1997 hingga kini dalam tempoh 30 hari.

Menurut Daim, notis dikeluarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menyatakan mempunyai “sebab munasabah” untuk mempercayai bahawa kesalahan bagi suapan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM berdasarkan siasatan  mengenai ‘Aduan Yang Tidak Didedahkan’.

Katanya, pada tarikh sama, SPRM mengeluarkan notis kepada mereka mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram, 2001 (AMLA) bagi membekukan akaun bank peribadi dan akaun bank syarikat mereka.

SIASATAN

Pada 30 Disember 2023, SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa SPRM telah membuka siasatan terdapat Daim berdasarkan Kertas Pandora.

Kertas Pandora merupakan himpunan 11.9 juta dokumen yang dikumpul oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (International Consortium of Investigative Journalists, ICIJ) yang mengandungi maklumat perbankan, cukai dan maklumat hartanah membabitkan pemimpin-pemimpin dunia, jutawan, ahli perniagaan dan selebriti.

Kata  Daim, walaupun terdapat beberapa lagi individu rakyat Malaysia yang disebut dalam Kertas Pandora itu seperti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz namun mereka tidak disiasat oleh SPRM dan tiada sebarang tindakan diambil terhadap mereka.

Kerjaya politik beliau bermula apabila beliau dilantik sebagai Senator Dewan Negara pada 1982 kemudian Menteri Kewangan dan Bendahari UMNO pada 1984 sebelum meletakkan jawatan pada 1991.

Beliau dilantik semula sebagai Menteri Kewangan I pada tahun 1999 sebelum meletakkan semua jawatan dalam Kabinet dan sebagai Bendahari UMNO pada 2001.

Pada Mei 2018, Perdana Menteri (ketika itu), Tun Dr. Mahathir Mohamad melantik Daim bagi mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan yang bertindak menasihati kerajaan mengenai ekonomi dan kewangan ketika proses peralihan kuasa.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN