Saya akan hadir mahkamah, lawan - Na'imah - Utusan Malaysia

Saya akan hadir mahkamah, lawan – Na’imah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Menteri Kewangan ,Tun Daim Zainuddin akan melawan pertuduhan yang akan dikenakan terhadapnya esok.

Toh Puan Na’imah Khalid dalam kenyataannya kepada media sebentar tadi memberitahu, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu semasa berada di hospital yang merawat suaminya.

Daim telah dimasukkan ke hospital sekitar minggu kedua Januari lalu.

“Sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tiba-tiba hadir di hospital di mana suami saya sedang menerima rawatan dan meminta untuk merakamkan percakapan saya walaupun saya telah memberi keterangan pada 10 Januari lalu.

“Semua ini berlaku walaupun saya telah memberi jaminan akan memberikan keterangan selepas suami saya selesai menjalani prosedur perubatan pada Selasa (esok).

“Saya kemudian dimaklumkan akan didakwa di mahkamah esok mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009,”ujar wanita itu.

Berdasarkan seksyen berkenaan, mana-mana individu yang sengaja mengabaikan atau tidak mematuhi terma notis SPRM, boleh dipenjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000.

Kata Na’imah, beliau juga memohon agar didakwa di mahkamah pada Rabu ini selepas suaminya selesai menjalani rawatan namun permintaan tersebut tidak diendahkan.

“Mereka (SPRM) berkeras untuk mendakwa saya esok. Saya akan berada di mahkamah esok. Saya akan melawan pertuduhan ini,”kata Na’imah.

Menurut semakan pada sistem mahkamah, Na’imah akan didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

SPRM telah memulakan siasatan terhadap keluarga Daim sejak Februari tahun lalu rentetan daripada pendedahan Kertas Pandora.

Kertas Pandora merupakan himpunan 11.9 juta dokumen yang dikumpul oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (International Consortium of Investigative Journalists, ICIJ) yang mengandungi maklumat perbankan, cukai dan maklumat hartanah membabitkan pemimpin-pemimpin dunia, jutawan, ahli perniagaan dan selebriti.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN