Sarjan wanita didakwa terima rasuah RM20,000 - Utusan Malaysia

Sarjan wanita didakwa terima rasuah RM20,000

S. USHA NANTINY mengaku tidak bersalah menerima rasuah RM20,000 di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis wanita berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas tuduhan menerima rasuah RM20,000 sebagai dorongan tidak menahan seorang wanita berkaitan kes pecah amanah, dua tahun lalu.

Walau bagaimanapun, S. Usha Nantiny, 35,  mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang masih bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat didakwa memperoleh suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan supaya tidak menahan isterinya yang  disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 4.50 petang di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial pada 28 Ogos 2022.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, ibu kepada dua anak itu boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Wai Keong, manakala tertuduh diwakili peguam belq, S. Selvantheran.

Pihak pendakwaan memohon supaya tertuduh diberikan jaminan yang tinggi berjumlah RM15,000 kerana merupakan satu kesalahan yang berat berserta beberapa syarat tambahan.

Sementara itu, Selvantheran memberitahu tertuduh yang hadir ke mahkamah bersama suaminya hanya mampu membayar jaminan sebanyak RM8,000 kerana mempunyai tanggungan dua orang anak berusia lima dan enam tahun serta ibu bapa mertua.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikatkan jamin berjumlah RM12,000 dengan seorang penjamin, perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri ke Pejabat SPRM Segamat setiap bulan.

Tarikh 24 Mac depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN