MARAN: Keadaan negara sehingga hari ini masih tidak terkawal akibat pelbagai masalah seperti kenaikan harga barang, ketidaktentuan pasaran bagi barangan keperluan harian antaranya seperti beras, minyak masak, gula dan ayam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, kerajaan Madani sudah lebih setahun memerintah tetapi masih tidak dapat mencari penyelesaian kepada permasalahan rakyat.
Jelasnya, menteri yang ada seperti tidak tahu menjalankan tugas menyebabkan rakyat semakin gelisah akibat terbeban dan terhimpit dengan keadaan ekonomi yang semakin merudum.
“Sampai bilakah penderitaan ini akan berterusan? Langkah kerajaan Madani seperti jualan Rahmah untuk barang keperluan terpilih, nyata tidak memberi apa-apa impak kepada rakyat yang terus terbeban dengan keadaan ekonomi negara masa kini.
“Daripada melaksanakan penyelesaian jangka pendek seperti jualan murah Rahmah, kerajaan harus fokus dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi dan pelan jangka sederhana dan jangka panjang bagi menangani segala masalah rakyat.
“Antara lain, pelaksanaan dasar ekonomi yang lebih baik dalam mengawal selia harga barangan dan perkhidmatan untuk memastikan persaingan yang adil dan saksama dalam pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang dilaporkan sebagai berkata, semalam ringgit jatuh ke paras terendah dalam 26 tahun iaitu 4.728 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun lalu pula hanya berkembang pada kadar 3.8 peratus, iaitu gagal mencapai sasaran empat hingga lima peratus seperti diunjurkan sebelum ini.
Muhyiddin berkata, beliau tidak nampak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. mampu memberikan penyelesaian tuntas kepada permasalahan rakyat yang kian meruncing pada ketika ini kerana dilihat lebih sibuk memastikan musuh-musuh politik ditindas.
Mengulas lanjut, Jasri yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran berkata, Perdana Menteri nampaknya begitu gigih mencari kesalahan musuh-musuh politik dan seperti mengabaikan kesusahan rakyat.
“Sejak beliau mengambil tampuk pemerintahan negara lebih kurang setahun lalu, begitu banyak masa dibazirkan ke arah “membalas dendam” musuh-mush politik beliau seperti Tan Sri Muhyiddin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan terbaharu, Tun Daim Zainuddin dan Tun Mahathir Mohamed. Tidak nampak tumpuan diberikan untuk mengurus kesejahteraan rakyat dan ekonomi.
“Seolah-olah jawatan sebagai Perdana Menteri yang diangan-agankan sejak puluhan tahun dahulu hanya untuk melampiaskan dendam kesumat beliau terhadap pembangkang. Yang pasti, ini semua langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
“Sudah-sudahlah beretorik dan berpolitik sepanjang masa. Rakyat masih termangu-mangu dan semakin gelisah, menanti apakah penyelesaian sebenar kerajaan terhadap masalah sosio-ekonomi negara. Adakah kerajaan Madani ini hanya sekadar nama yang tidak mempunyai roh?,” soalnya. – UTUSAN