Sabah sasar kurangkan 80 peratus KIR miskin tegar - Utusan Malaysia

Sabah sasar kurangkan 80 peratus KIR miskin tegar

HAJIJI Noor (tengah) bersama wakil-wakil kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat dalam program menoktahkan miskin tegar di negeri Sabah di Tuaran semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUARAN: Kerajaan negeri menyasarkan untuk mengurangkan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar antara 70 hingga 80 peratus pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berdasarkan statistik, Sabah mempunyai lebih 22,000 ketua isi rumah (KIR) dalam golongan miskin tegar.

Katanya, beliau yakin usaha mengurangkan kadar miskin tegar di Sabah dapat dilakukan menerusi pelbagai inisiatif termasuk program menoktahkan miskin tegar di negeri Sabah.

“Dengan pengembelingan semua pihak melibatkan kerajaan negeri dan Persekutuan menerusi jabatan dan agensinya serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta yang menyediakan pelbagai jenis bantuan dan inisiatif, insyaallah dalam tahun ini atau mungkin tahun depan, kita berharap boleh mengurangkan sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus rakyat miskin tegar di Sabah,” katanya selepas majlis penyerahan surat penyertaan agensi pemberi bantuan bagi program menoktahkan miskin tegar di negeri Sabah dan penyerahan surat pelantikan inisiatif MYSMJA Kerja, di sini semalam.

Menurut Hajiji, bantuan yang diberikan termasuklah bantuan pekerjaan, pendidikan, kebajikan, perumahan dan keusahawanan.

Beliau berkata, keutamaan harus diberikan kepada anak-anak daripada KIR miskin tegar untuk diambil bekerja di jabatan-jabatan dan agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan serta di kilang-kilang yang dibuka oleh pelabur di Sabah.

“Kita telah minta mereka supaya memastikan peluang pekerjaan ini dapat dinikmati oleh anak-anak dalam kategori miskin tegar.

“Nama-nama KIR miskin tegar ini telah diselaraskan oleh sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dan dihantar kepada syarikat-syarikat, jabatan dan agensi kerajaan serta GLC kerajaan, supaya mereka diberi peluang untuk bekerja.

“Itulah sasaran kita. Kalau boleh semua kita bagi peluang, pekerjaan dan juga berniaga di samping bantuan lain secara terus daripada kerajaan. Kita kena buat ini kerana inilah antara cara untuk menyelesaikan dan menoktahkan miskin tegar,” katanya.

Menyentuh tentang program itu, Hajiji berkata, ia merupakan manifestasi kerjasama semua agensi kerajaan khususnya agensi penyedia bantuan untuk menyaluran bantuan kepada golongan miskin tegar agar tahap ekonomi keluarga mereka dapat dipertingkatkan bagi membolehkan mereka keluar daripada kelompok miskin tegar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya