Rumah terbakar gara-gara pengecas telefon

Rumah terbakar gara-gara pengecas telefon

MEK Kaji Waman tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya terbakar di Kampung Chicha Tinggi, Pasir Mas, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Sebuah keluarga dari Kampung Chicha Tinggi di sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka terbakar gara-gara pengecas telefon.

Kejadian pukul 6.30 pagi itu berlaku semasa telefon bimbit kepunyaan Mohd. Zulhelmi Zakaria, 33, terbakar ketika dicas di atas tilam.

Ibunya, Mek Kaji Waman, 68, berkata, kebakaran itu disedari oleh Mohd. Zulhelmi yang tersedar daripada tidur akibat bahang panas.

“Percikan api yang keluar dari pengecas telefon itu telah terkena pada tilam dan kemudiannya terbakar.

“Terkejut dengan kejadian itu Mohd. Zulhelmi telah cuba memadamkan api tersebut namun gagal apabila ia marak dan kemudian menyambar kelambu,” katanya ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mek Kaji memberitahu, semasa kejadian dia tiada di rumah kerana keluar menghantar kuih di kedai yang terletak tidak jauh dari kediamannya.

Katanya, dia bersyukur Mohd. Zulhelmi bertindak pantas dengan mengejutkan kakaknya, Zetty Suriani, 33, bersama suami dan dua anak untuk segera menyelamatkan diri.

“Semua barangan gagal diselamatkan termasuk tiga buah motosikal. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Balai dan Penyelamat Pasir Mas, Azmi Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.49 pagi dan terus bergegas ke lokasi.

Katanya, sejurus tiba di lokasi rumah tersebut sudah hangus sebanyak 90 peratus dan punca kebakaran masih dalam siasatan.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN