Rezeki anak kurang berkemampuan terima sumbangan persekolahan - Utusan Malaysia

Rezeki anak kurang berkemampuan terima sumbangan persekolahan

MUZALIZA Musa (kanan) menyantuni salah seorang murid yang juga penerima sumbangan bagi membeli peralatan dan kelengkapan persekolahan di sebuah pasar raya di Nilai, Seremban ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 31 orang murid dan pelajar di Nilai mendapat tajaan daripada beberapa penyumbang persendirian bagi pembeliaan peralatan dan kelengkapan persekolahan di sebuah pasar raya di Nilai hari ini.

Pengurus pertubuhan persendirian, Semarak Resources Centre (SRC), Muzaliza Musa berkata, sumbangan itu diterima hasil pelaksanaan program kempen Kembali Ke Sekolah oleh pihaknya.

“Program kembali ke sekolah adalah satu inisiatif amat dekat di hati SRC, ia meringankan beban kewangan keluarga murid serta pelajar terbabit dalam menyediakan keperluan persekolahan.

“Diharap menerusi program ini ia dapat memberi sedikit keceriaan kepada penerima selain dapat membantu kewangan ibu bapa. Pada masa sama, murid dan pelajar dapat memakai baju baharu pada hari pertama persekolahan pada setiap tahun,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut beliau, sebanyak RM100 diperuntukkan kepada setiap murid dan pelajar menerusi sumbangan itu membabitkan pembelian pakaian sekolah, kasut, beg dan alat tulis.

Sementara itu, seorang penerima, Natasha Baharudin 15, berkata, sumbangan itu amat membantu keluarganya bagi membeli kelengkapan persekolahan buat dirinya.

Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semarak, memberitahu, ia merupakan bantuan pertama kali diterimanya dan bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dengan masalah kewangan dihadapi. 

“Bila persekolahan penggal baharu mula dibuka, sudah tentu memerlukan perbelanjaan lebih bagi membeli kelengkapan dan sekurang-kurangnya dengan bantuan ini dapat meringankan beban keluarga saya,” katanya yang juga merupakan pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU). 

Seorang murid dan anak yatim dari Sekolah Rendah Islam Putra, Nilai, Fadillah Asyura Muslim 11, pula berkata, dia amat teruja dan berterima kasih kerana ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan kepadanya.

“Saya memang mahu beli pakaian sekolah baharu, itu yang penting untuk masuk sesi persekolahan baharu nanti, terima kasih yang membantu,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya