Remaja perempuan hilang, tak hadiri kelas - Utusan Malaysia

Remaja perempuan hilang, tak hadiri kelas

J. NISHA dilaporkan hilang selepas sesi persekolahan tamat di SMK Paloh, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Polis meminta bantuan orang ramai mencari seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang selepas pergi ke sekolah di Paloh, kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kehilangan remaja tersebut, J. Nisha disedari ibunya, A. Erisha Mah, 42, yang mahu menjemputnya pulang usai sesi persekolahan kira-kira pukul 2.30 petang. 

Remaja berkenaan dipercayai tidak masuk ke dalam sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh selepas dihantar pada pukul 6.30 pagi. 

“Ibu remaja perempuan berkenaan percaya anaknya keluar semula dari kawasan sekolah setelah dia beredar kerana ketika menjemputnya pada 2.30 petang, remaja berkenaan tiada dalam kawasan sekolah.

“Ibunya juga membuat semakan dengan guru kelas, namun dimaklumkan remaja itu tidak masuk ke kelas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Bahrin berkata, siasatan mendapati tiada sebarang masalah dan perselisihan faham dalam keluarga sebelum mangsa hilang.

“Mangsa tidak pernah keluar rumah dan tidak pernah mendatangkan masalah dalam keluarga,” katanya sambil memaklumkan mangsa memakai pakaian seragam sekolah dan membawa beg sekolah berwarna hitam.

Setakat ini, tiada saksi yang melihat mangsa keluar dari sekolah dan orang ramai yang mengetahui di mana Nisha berada diminta memaklumkannya ke balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN