Remaja dituduh bunuh warga emas - Utusan Malaysia

Remaja dituduh bunuh warga emas

SEORANG remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas, awal bulan ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berusia 17 tahun itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali.

Berdasarkan pertuduhan, remaja itu telah melakukan perbuatan membunuh seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di antara pukul 11.30 malam, 3 Januari 2024 hingga pukul 10 pagi, 4 Januari 2024 di Kampung Pasir, Jalan Siliau Rantau.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Pusppa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 4 Januari lalu, media melaporkan seorang lelaki warga emas ditemukan maut dengan kesan kecederaan tikaman di bahagian belakang badan dan kedua buku lali di sebuah rumah di Kampung Pasir, Rantau.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kira-kira pukul 10.10 pagi, pihaknya menerima maklumat berkenaan lelaki berusia 74 tahun yang tidak bekerja dijumpai sudah meninggal dunia di rumah berkenaan.

Menurutnya, susulan kejadian itu, seorang lelaki telah ditahan kira-kira pukul 5 petang berhampiran kawasan kejadian dan seorang lagi dipanggil ke balai polis untuk siasatan lanjut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN