Remaja dicederakan bapa turut pernah dirogol - Utusan Malaysia

Remaja dicederakan bapa turut pernah dirogol

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Derita seorang remaja perempuan yang dipukul dengan teruk oleh bapanya awal pagi semalam di Kendong di sini turut membongkar episod hitam hidupnya apabila dia turut pernah dirogol bapanya itu.

Mangsa berusia 17 tahun itu juga menyatakan dia dipukul dengan teruk disebabkan bapanya yang berusia 47 tahun tidak berpuas hati dengan tindakannya membocorkan rahsia hitam itu kepada teman wanita bapanya yang turut sama tinggal di rumah.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad, pihaknya menerima laporan mangsa dirogol dari pegawai perubatan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah tengah malam tadi.

“Mangsa kini mendapatkan rawatan di hospital berkenaan selepas mengalami beberapa kesan kecederaan di bahagian bahu kanan, kiri, bahagian belakang kepala sebelah kiri, tangan sebelah kanan dan di bibir.

“Mangsa juga telah memberitahu doktor yang merawatnya dia pernah dirogol bapanya pada 12 November tahun lalu. Pemeriksaan lanjut doktor mendapati terdapat kesan koyakan lama di bahagian himen pesakit,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Hazri lagi, mangsa yang merupakan anak pertama dari empat adik-beradik, tinggal bersama neneknya di Rantau, Seremban sejak usia empat tahun setelah perceraian bapa dan ibunya dan tinggal bersama bapanya itu sejak Jun 2022.

Menurutnya, pada November tahun lalu, suspek telah masuk ke bilik mangsa dan merogol mangsa serta memberi amaran kepada mangsa supaya tidak memberitahu perkara tersebut kepada sesiapa pun.

“Kira-kira pukul 10.45 malam kelmarin (23 Januari), telah berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek di mana suspek telah bertindak memukul mangsa menggunakan tangan serta beberapa alatan seperti kerusi plastik, bakul kain plastik dan meja seterika.

“Dengan bantuan teman lelaki mangsa, pihak polis dihubungi dan suspek telah ditangkap. Sementara mangsa pula telah di bawa ke Hospital Tampin menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan susulan sebelum dipindahkan ke HTAN,” katanya.

Menurutnya, saksi kejadian iaitu teman wanita suspek telah tampil bagi membantu siasatan dan suspek yang mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah serta direman empat hari.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan, Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya