PETALING JAYA: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir selatan tidak boleh sekadar hangat-hangat tahi ayam atau tidak bersungguh dengan membiarkan pihak terlibat terlepas.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sebarang tindakan lepas tangan boleh menjejaskan imej kerajaan kerana Malaysia kehilangan wilayah ekoran keputusan menarik tuntutan Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Beliau juga berharap proses RCI Batu Puteh itu tidak tertangguh lama seperti mana penubuhan suruhanjaya sama bagi menyiasat buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, ‘My Story: Justice in the Wilderness’.
“Dalam kes Pulau Batu Puteh terlalu banyak misteri berlaku. Kenapa Tun Dr Mahathir Mohamad tarik balik permohonan semakan keputusan ICJ yang memihak pada Singapura? Apa muslihat penarikan tersebut? Apakah Kabinet maklum? Kenapa tarik dengan tergesa gesa selepas jadi PM ke-7? Apa peranan Tommy Thomas?
“Semoga RCI Pulau Batu Puteh tidak hangat hangat tahi ayam. Ia akan menjejaskan imej kerajaan. Negara kehilangan wilayah. Penggadai kedaulatan mesti dihukum,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Semalam, kerajaan menubuhkan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir selatan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja tersebut dibuat selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].
Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.
Sebelum itu pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, memohon supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.
Permohonan semakan itu difailkan berdasarkan penemuan baharu Malaysia melalui tiga dokumen penting, menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura, tidak pernah menganggap ia memperoleh kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh daripada Johor.
Dua daripada dokumen itu yang hanya boleh diakses kepada awam selepas ICJ memberikan penghakimannya, juga menunjukkan pegawai Tentera Laut British mengakui perairan di pulau terbabit adalah milik Johor.