KUANTAN: Kira-kira 10,000 rakyat hadir ke Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini bagi menyambut keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini.
Seawal pukul 9 pagi rakyat sudah mula berkumpul di situ dan antara yang hadir 40 murid tahun enam dan empat guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Bandar Indera Mahkota, Kuantan.
Guru, M. Thiagaselan, 48, berkata, kesemua murid yang terlibat merakamkan rasa teruja mereka kerana buat pertama kali hadir ke majlis seumpama itu.
“Mereka (murid) sudah dimaklumkan seminggu sebelum majlis dan sejak itu mereka sudah merasa teruja untuk melihat sendiri Istiadat Keberangkatan Balik baginda.
“Ini pertama kali mereka hadir dan dari istiadat ini mereka boleh mempelajari pelbagai perkara dan ini dapat menerapkan tentang kedaulatan raja dan memupuk semangat setia kepada negara.
“Ini juga menjadi peluang untuk mereka melihat sendiri Raja dan Permaisuri kita yang mungkin sebelum ini mereka hanya melihat di dalam buku teks sahaja,” katanya ketika ditemui di Pangkalan TUDM Kuantan di sini hari ini.
Seorang warga emas, Jaariah Ahmad, 67, berkata, walaupun dalam keadaan kurang sihat, namun dia menggagahkan diri hadir ke Pangkalan Udara TUDM Kuantan bagi memenuhi permintaan cucu tersayang, Nurul Auni Batrisya Mohd. Sahiful, 10, yang mahu turut serta menyaksikan Istiadat Keberangkatan Balik Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.
Katanya, dia yang tinggal di Pantai Sepat sudah tiba di situ seawal pukul 9 pagi dibawa anak perempuannya, Nurul Khamilah Md. Rashid, 31.
“Kami bertiga meletakkan kenderaan di masjid berhampiran dan kami berjalan kira-kira 500 meter untuk masuk ke dalam.
“Syukur sangat kami diberikan peluang untuk turut serta dalam istiadat ini dan dapat bersua muka dengan baginda berdua,” katanya. – UTUSAN