PETALING JAYA : Seorang raja dadah warga Malaysia yang diberkas di Laos pada 29 Disember lalu dipercayai telah disenaraikan individu dikehendaki oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018.
Penahanan suspek lelaki berusia 39 tahun yang berasal dari Parit Buntar Perak itu dilakukan hasil pertukaran maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) dan Biro Pembanterasan Narkotik (PNSB) Thailand.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamaruddin Md. Din berkata, lelaki berkenaan telah disenarai hitam selepas disyaki menjadi dalang utama satu sindiket pengedaran dadah di kawasan Segi Tiga Emas membabitkan tiga negara iaitu Myanmar, Laos dan Thailand sejak 2006.
Kata beliau, tindakan menyenairai hitam dilakukan selepas pihak berkuasa Thailand menahan tujuh rakyat mereka dengan rampasan 998 kilogram kristal methamphetamine di wilayah Ratchaburi pada Jun tahun lalu.
“Lelaki ini juga mempunyai rangkaian pengedaran di negara ini dan wujud perkongsian maklumat diantara Malaysia dan negara terlibat dalam penahanan ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelarian warga Malaysia yang dikehendaki di Thailand kerana menyeludup dadah ditahan selepas bersembunyi di Laos.
Suspek dipercayai telah menggunakan Thailand untuk pengubahan wang haram dan sebagai tempat transit untuk penyeludupan dadah, termasuk ke negara ketiga seperti Malaysia, Taiwan dan Australia.
Susulan penahanan itu juga, pihak berkuasa Thailand turut merampas aset lelaki itu, termasuk sebidang tanah dengan bangunan, dua kondominium, tiga kapal layar, dua kereta, tiga motosikal, senjata api, wang tunai, dan barang berharga lain, di Bangkok, Trat, Chiang Rai dan Chon Buri.
Jumlah anggaran nilai aset yang dirampas ialah RM11 juta (85 juta baht).