PETALING JAYA: Kementerian Ekonomi menafikan syarikat Accio Technologies terlibat dengan proses pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) seperti mana yang didakwa Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Cher Han Lau dalam satu podcast bersama radio tempatan.
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, dakwaan Han Lau itu tidak benar selepas semakan dilakukan dengan pasukan di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Pasukan Analitik PADU telah menjemput Dr. Han Lau hanya dalam kapasiti peningkatan kemahiran sumber manusia (upskilling) dalam sains data berdasarkan keupayaan beliau dalam pembangunan data raya (big data) dan machine learning.
“Proses pembangunan PADU, pengumpulan atau pembersihan data PADU tidak melibatkan beliau ataupun sesiapa daripada syarikat beliau.
“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa PADU dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam tanpa penglibatan mana-mana pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN