RAMALLAH: Lebih 10 kanak-kanak di Gaza secara purata kehilangan satu atau kedua-dua belah kaki setiap hari sejak konflik Israel-Hamas meletus tiga bulan lalu.
Dalam tempoh berkenaan, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), lebih 1,000 kanak-kanak dilaporkan dipotong satu atau kedua-dua belah kaki mereka.
Kebanyakan pembedahan ke atas kanak-kanak ini dilakukan tanpa anestetik dengan sistem penjagaan kesihatan di Gaza lumpuh akibat konflik selain kekurangan doktor dan jururawat, serta bekalan perubatan seperti anestesia dan antibiotik.
HOSPITAL SEPARA BEROPERASI
Walaupun 13 daripada 36 hospital di Gaza kekal berfungsi, namun, mereka terpaksa beroperasi secara separa dan bergantung kepada akses bahan api dan bekalan perubatan asas pada hari tertentu.
Sembilan hospital berfungsi secara separa di bahagian selatan dengan kapasiti pesakit tiga kali ganda selain berdepan kekurangan bekalan asas dan bahan api yang kritikal.
Di samping itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberitahu, setakat ini, hanya 30 peratus pasukan medik pra-konflik Gaza masih bekerja.
HIBA DENGAN KEADAAN KANAK-KANAK
Sementara itu, Pengarah Negara Save the Children untuk wilayah Palestin, Jason Lee berkata, para doktor dan jururawat benar-benar terharu dan hiba apabila melihat kanak-kanak dibawa masuk dengan luka teruk akibat letupan.
Katanya, kalangan profesional yang bertugas juga tidak dapat menanggung bebanan emosi mereka apabila melihat kanak-kanak dalam kesakitan selain pihak hospital tidak mempunyai peralatan dan ubat-ubatan mencukupi untuk merawat atau mengurangkan kesakitan mereka.
TANGISAN
Walaupun dalam zon perang, beliau memberitahu, pemandangan dan bunyi tangisan kanak-kanak kecil yang cacat akibat terkena letupan bom di hospital tidak dapat digambarkan lagi, apatah lagi untuk difahami dalam batas-batas kemanusiaan.
“Kanak-kanak yang terperangkap dalam letupan amat terdedah kepada kecederaan yang boleh mengubah kehidupan mereka. Mereka juga mempunyai struktur leher dan tubuh yang lebih lemah, jadi boleh menyebabkan kecederaan otak.
“Tengkorak mereka masih belum terbentuk sepenuhnya dan otot mereka masih belum berkembang untuk melindungi tubuh, jadi, letupan berkemungkinan besar akan mengoyakkan organ dalam perut mereka, walaupun tiada kerosakan yang kelihatan,” katanya.
Tambah Jason, penderitaan kanak-kanak dalam konflik ini tidak dapat dibayangkan dan ia boleh dielakkan sepenuhnya.
Katanya, penderitaan, pembunuhan dan tindakan mencacatkan kanak-kanak ini turut dikutuk sebagai pelanggaran berat terhadap hak kanak-kanak dan pelaku mesti dipertanggungjawabkan.
“Melainkan tindakan diambil oleh masyarakat antarabangsa untuk menegakkan tanggungjawab di bawah Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa dan mencegah jenayah paling serius yang membimbangkan antarabangsa. Kita mesti mengambil iktibar dari masa lalu dan mesti menghalang “jenayah kekejaman” daripada berlaku.
“Hanya gencatan senjata yang muktamad dapat menamatkan pembunuhan dan mencacatkan orang awam dan membenarkan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan termasuk ubat-ubatan kritikal untuk kanak-kanak yang cedera,” ujarnya.
Kira-kira 22,000 rakyat Palestin terbunuh dan 57,000 lagi cedera dalam tempoh tiga bulan sejak 7 Oktober lalu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza dengan kanak-kanak cacat dan terbunuh pada kadar yang dahsyat dan seluruh keluarga terbunuh setiap hari.
Save the Children menyediakan perkhidmatan dan sokongan penting kepada kanak-kanak Palestin sejak tahun 1953.
Pasukan Save the Children di wilayah Palestin bekerja sepanjang masa, meletakkan bekalan penting untuk menyokong orang yang memerlukan dan berusaha mencari jalan untuk mendapatkan bantuan di Gaza.