LIPIS: Masjid kampung Masjid Lama Tanjung Besar dekat ini perlu dipulihara dan dibaiki pulih kerana mempunyai nilai sejarah kepahlawanan dan perkembangan Islam di daerah Lipis.
Masjid yang dibina secara bergotong royong itu tanpa paku dipercayai dibina sekitar tahun 1900 kekal utuh walaupun tidak digunakan hampir 50 tahun.
Mengimbau sejarah masjid itu bekas Ketua Kampung Mahusin Lazi,90, memberitahu masjid yang dibina menggunakan kayu merbau dan cengal ` tidak rebah` kekal yang dapat disaksikan generasi baharu.
“Masjid reka bentuk pengaruh Masjid Kampung Pagar Lipis terletak di atas bukit di jalan utama Jerantut Lipis itu satu ketika menjadi masjid utama tiga kampung iaitu Kampung Tanjung Besar Tengah, Kampung Rengai Kaduk dan Kampung Tanjung Besar Hulu.
“Masjid ini juga menjadi tempat persinggahan para pedagang untuk ke Kuala Lipis kerana satu ketika Sungai Rengai Ulu di kampung ini menjadi laluan perahu besar,”katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui hari ini.
Mahusin menambah, di masjid ini terdapat loteng tempat muazzin melaungkan azan yang boleh didengar dengan jelas oleh penduduk sekitar tiga kilometer dari masjid.
Beliau yang menjadi ketua kampung sekitar tahun 1980-2000 berkata, pada zaman Jepun masjid ini menjadi tempat berlindung penduduk kerana tentera Jepun tidak mengganggu mereka.
Bagi anak jati Kampung Tanjung Besar Tengah, Azmiros Johar,59, mengakui masjid ini menjadi pusat aktiviti dakwah kerana ramai pendakwah dari luar hadir seperti dari bandar Lipis, Chenor dan Pekan.
`”Saya menyokong jika ada mana-mana pihak membaiki pulih masjid ini untuk dijadikan pusat aktiviti penduduk seperti perpustakaan desa, pusat internet dan sebagainya,” katanya.
Tegasnya, Masjid ini berusia lebih 100 tahun dan menjadi pusat dakwah Islam di negeri ini masih kukuh kerana bebas banjir setelah masjid asal di pinggir Sungai Rengai dialihkan beberapa meter di atas bukit.