PADANG BESAR: Pasti ramai tidak menyangka terdapat satu kawasan di Tasik Timah Tasoh di sini digelar ‘pulau burung’ berikutan menjadi tumpuan ribuan unggas di situ.
Uniknya, burung hijrah itu akan berada atau hinggap beristirehat di atas pokok di tasik berkenaan hanya dalam tempoh setahun sekali, iaitu pada musim angin timur antara Januari hingga Mac.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pengusaha bot yang membawa pengunjung menyusuri tasik itu, Azhar Abd. Aziz, 35, berkata, burung-burung tersebut lazimnya boleh dilihat antara pukul 7 hingga 7.30 malam yang hinggap di sekitar 50 pokok di kawasan berkenaan.
“Terdapat kira-kira tiga spesies burung, antaranya bangau singgah di sini yang hanya dapat disaksikan setahun sekali pada musim angin timur ini. Ribuan burung ini akan hinggap dan tidur di pokok hentian ini.
“Burung-burung ini lazimnya makan siput gondang dan kedaya. Kita juga akan bawa pengunjung menaiki bot untuk melihat dan merakam gambar di pulau burung ini yang sebenarnya ramai tidak tahu,” katanya.
Seorang pengunjung, Aiman Azmi, 26, pula berkata, dia tidak menyangka di sebalik Tasik Timah Tasoh ini sebenarnya terdapat banyak kawasan unik.
Menurutnya, meskipun pernah mengunjungi tasik tersebut, namun ini pertama kali dia mengetahui wujud kawasan ribuan burung singgah.
“Banyak juga tempat tersembunyi di sebalik Tasik Timah Tasoh ini. Bukan sahaja kita dapat menikmati keindahan tasik sebaliknya mengetahui tempat-tempat baharu.
“Pulau burung ini antara yang sangat menarik apabila dapat melihat burung-burung hinggap di pokok dan apabila terdengar kehadiran bot, ribuan burung ini terbang. Banyak juga spesies burung hijrah yang berhenti sebentar dan singgah di kawasan tersebut.
“Kedatangan kali ini, saya berkesempatan melihat burung-burung tersebut yang difahamkan singgah setahun sekali sahaja,” katanya. – UTUSAN