BATU PAHAT: “Kami pasrah, pulangkanlah Mira Sharmila.”
Demikian luahan Norisham Samsusah, 36, kepada sesiapa yang mungkin melarikan dan menyembunyikan adiknya yang lebih dikenali sebagai Bella sejak 20 hari lalu.
Malah, Norisham merayu supaya kasihanilah dua anak Bella yang berusia empat dan dua tahun kerana dahagakan kasih sayang ibu mereka.
“Turut merindui Bella adalah ibu yang kini semakin terjejas kesihatannya akibat kerunsingan terhadap keselamatan Bella yang ketika keluar hanya sehelai sepinggang serta tidak membawa duit.
“Selepas 20 hari mencari, kami masih belum pasti penghujungnya misteri kehilangan Bella, namun kami percaya penantian itu akan berakhir nanti,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam, Norisham dan ibunya, Noraini Salleh, 55, serta beberapa ahli keluarga mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah bagi mendapatkan penjelasan hasil siasatan kehilangan Bella.
Sementara itu, Ismail Dollah berkata, siasatan masih dilakukan meliputi pelbagai aspek bagi memastikan Bella dapat ditemukan secepat mungkin.
Justeru, ahli keluarga Bella diharapkan dapat bersabar dan memberikan kepercayaan penuh kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Hingga hari ini belum ada perkembangan terbaru berkaitan kehilangan Bella, maklumat diperoleh juga tidak boleh didedahkan kerana bimbang mengganggu siasatan,” katanya. – UTUSAN