SEREMBAN: Selepas diluluskan di peringkat Kabinet dua hari yang lalu, projek pembinaan stesen baharu kereta api Seremban Sentral terus dilancarkan hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelancaran segera itu diambil pihaknya sebagai mengambil iktibar ucapan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali semasa pemukiman jemaah menteri baru-baru ini bahawa keputusan tepat dan tindakan cepat perlu dilaksanakan untuk menjadi sebuah kerajaan yang efektif.
“Pada hari Rabu Kabinet meluluskan projek ini, hari ini saya buat pelancarannya, ini adalah salah satu komitmen untuk membantu mempercepatkan projek-projek pembangunan terutamanya yang berimpak tinggi seperti Stesen Seremban Sentral ini.
“Di peringkat Kementerian Pengangkutan, saya memberikan komitmen mempercepatkan proses pembangunan Seremban Sentral ini. Saya mahu ingatkan kepada kontraktor juga, projek ini tidak akan ada EOT (Extension of Time), projek ini mesti disiapkan dalam tempoh 24 bulan, tidak boleh lebih daripada tempoh itu.
“Stesen ini kosnya dianggarkan sebanyak RM170 juta, ini projek yang besar bagi bandar raya Seremban, satu mercu tanda, ini projek penting dan amat mengharapkan ia dapat dibuat dengan sebaiknya, projek lain mungkin saya tidak dapat pantau selalu namun projek ini di Seremban dan tiap-tiap minggu saya akan pantau projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Pelancaran Stesen Baharu Seremban Sentral di Depoh DMIA, Taman Bukit Tembok di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran dan Timbalan Pengerusi Dhaya Maju LTAT Sdn. Bhd., Tan Sri Mohd. Azumi Mohamed.
Anthony Loke yang juga merupakan Ahli Parlimen Seremban menambah, apabila siap kelak, Stesen Seremban Sentral yang akan melengkapkan pembangunan Seremban Sentral itu akan menjadi nadi kepada pembangunan bandar raya Seremban.
“Ini merupakan projek yang penting kerana stesen ini akan menjadi nadi kepada pembangunan bandar raya Seremban. Ia mengambil kira reka bentuk moden, canggih serta net-zero emissions (pelepasan karbon sifar bersih) iaitu stesen kereta api pertama seumpamanya di negara ini.
“Ini stesen yang baharu dan apabila ia siap kelak saya yakin, ia akan menjadi kebanggan warga Seremban. Kita lihat stesen lama kita (Stesen Keretapi Seremban) memang reka bentuknya konvensional, tetapi ini merupakan stesen yang moden namun masih mengekalkan (bangunan) stesen lama, itu yang uniknya.
“Pembangunan Stesen Seremban Sentral ini akan memberikan nafas baharu kepada reka bentuk stesen asal. Projek membaik pulih Stesen Keretapi Seremban tidak akan menjejaskan facade atau reka bentuk asal bangunan tersebut atas dasar memelihara nilai warisan dan sejarah yang terdapat di bangunan tersebut,” katanya.
Beliau turut memberitahu, projek stesen kereta api baharu itu juga akan menyokong dan mengintegrasikan pembangunan rumah PR1MA Seremban Sentral dengan sistem pengangkutan awam seperti tren dan bas.-UTUSAN.