SEGAMAT: Pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Batu Badak, dekat sini menjadi PPS terakhir di negeri ini ditutup pada pukul 5 petang tadi.
PPS tersebut sebelum ini menempatkan seramai 25 penduduk Kampung Seberang Batu Badak
Seorang penduduk, Habibah Yahya, 28, bersyukur kerana dapat kembali ke rumah setelah enam hari berada di PPS berkenaan.
“Alhamdulillah kami dapat pulang dan banjir kali ini juga tidak berpanjangan sehingga berminggu-minggu seperti sebelum ini.
“Terima kasih kepada semua pihak berwajib dan yang terlibat memberi bantuan kepada kami sepanjang di PPS ini.
“Semoga cuaca tidak kembali hujan dan kami dapat mencari rezeki seperti biasa,” kata ibu kepada dua cahayamata itu ketika ditemui, hari ini.
PPS di Balai Raya Kampung Batu Badak itu mula beroperasi pada 28 Disember lalu. – UTUSAN