KLUANG: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kluang menyalurkan sumbangan berupa bahan mentah kepada dua pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di daerah ini.
Barangan bernilai kira-kira RM3,000 itu diserahkan kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir di PPS Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Kluang (MPK) yang menempatkan 229 mangsa daripada 69 keluarga.
Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kluang, Mohd. Hafiz Azmi berkata, sumbangan beruapa minyak masak, ayam, telur, beras dan sayur-sayuran itu turut dihantar ke PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKT) Tamil yang menempatkan 215 mangsa daripada 67 keluarga dari Kampung Palembang.
“Selain itu kami juga menyalurkan sumbangan seperti biskut, teh, gula, roti dan kopi sebagai makanan tambahan kepada mangsa ketika berada di PPS.
“Pemberian bahan mentah kepada dua PPS ini kerana difahamkan mereka memasak sendiri secara berpusat sebelum dihantar secara hidangan kepada mangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mohd Hafiz, mangsa di dua PPS dijangka akan tinggal lebih lama di pusat itu berikutan keadaan cuaca tidak menentu terutamanya penduduk di Kampung Contoh di Kahang.
“Kami akan terus memantau keadaan PPS di daerah Kluang ini, jika memerlukan program jiwa murni PPK Kluang akan diteruskan untuk membantu mangsa,” katanya.