SEREMBAN: Satu sindiket penipuan pendaftaran kad prabayar yang beroperasi di daerah ini dan didalangi oleh warganegara China berjaya ditumpaskan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pada 3 Januari lalu, pihaknya melalui serbuan di dua lokasi berbeza di daerah ini berjaya menahan dua individu warga China berkenaan serta merampas pelbagai barangan bagi tujuan penipuan.
Menurutnya, antara barangan yang dirampas adalah set komputer riba, telefon bimbit pelbagai jenama, 104 unit kotak sim, kad sim dan pemacu pena ‘dongle’.
“Siasatan polis mendapati sindiket ini terlibat dalam kegiatan penipuan pendaftaran kad prabayar (simkad) secara tidak sah yang menyasarkan pelanggan di negara Hong Kong.
“Kumpulan ini juga disyaki berperanan sebagai pembekal kad prabayar secara dalam talian kepada ahli sindiket lain untuk digunakan bagi tujuan penipuan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Arifai berkata lagi, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.-UTUSAN.