Polis minta saksi kemalangan ragut tiga nyawa tampil bantu siasatan - Utusan Malaysia

Polis minta saksi kemalangan ragut tiga nyawa tampil bantu siasatan

ORANG ramai yang menyaksikan kemalangan maut di Kilometer 48.8, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi berhampiran Felda Air Tawar 1, Kota Tinggi diminta tampil membantu siasatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Polis meminta saksi kemalangan yang meragut tiga nyawa di Kilometer 48.8, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi berhampiran Felda Air Tawar 1, di sini pagi tadi tampil membantu siasatan. 

Kemalangan melibatkan dua kenderaan berlaku pada pukul 6.49 pagi itu menyebabkan pemandu Proton Gen2, Noor Azman Abdul Rahman, 46, yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Tawar maut di lokasi kejadian.

Dua lagi mangsa, pemandu dan penumpang kereta Perodua Myvi, Muhammad Amirul Faiz Azmi, 22,  dan Amirul Asyraf Zulkifli, 28, dalam perjalanan ke tempat kerja di Desaru turut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian itu pada pukul 7.25 pagi.

“Dalam kemalangan tersebut, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat kesemua mangsa telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Saksi yang melihat kemalangan juga diminta tampil dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Zamiruddin Yaakob menerusi talian 011-39105277 untuk membantu siasatan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya