MARAN: Polis menyita sembilan buah motosikal dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar daerah ini dan Plaza Tol Sri Jaya di sini bermula petang semalam hingga awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, operasi itu bagi membanteras kegiatan samseng jalanan yang menunggang motosikal sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain dan mengganggu ketenteraman awam.
Menurutnya, kaedah operasi yang dijalankan adalah dengan menahan kumpulan motosikal dan melakukan pemeriksaan secara menyeluruh.
“Operasi dikendalikan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran.
“Sejumlah 140 motorsikal diperiksa melibatkan 150 orang, sembilan motosikal disita, 57 motosikal disaman melibatkan 114 kesalahan.
“Kesalahan dilakukan adalah membabitkan lesen (25 saman), cermin sisi (22), nombor plat (41), topi keledar (satu), tidak pamer P (satu), bawah umur 16 (satu), lesen kenderaan motor (lima), ubahsuai (12) insuran (empat) dan dua saman tiada brek,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. – UTUSAN