JOHOR BAHRU: Polis negeri ini berjaya menumpaskan sebanyak 16 sindiket pengedaran dadah sepanjang tahun lalu dengan nilai rampasan sebanyak RM25.07 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam tempoh sama, pihaknya membuat 98 tangkapan dengan nilai sitaan pelbagai aset sindiket dadah sebanyak RM7.08 juta.
Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor juga telah melakukan sebanyak 1,423 serbuan terhadap pusat hiburan dan memeriksa seramai 15,243 orang, dengan 1,105 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.
“JSJN johor sentiasa komited dan agresif dalam melaksanakan operasi secara berterusan membanteras sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini, terutamanya di negeri ini.
“Pada tahun lalu, seramai 16,598 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah, iaitu pencapaian ketiga tertinggi di Malaysia dengan rampasan sebanyak 5,088.49 kilogram dadah yang bernilai RM35.83 juta.
“JSJN Johor juga telah berjaya menyita pelbagai aset sindiket dadah bernilai RM16.60 juta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, JSJN Johor juga telah mendakwa sebanyak 5,728 kes bersamaan 97.30 peratus, manakala bagi kadar penyelesaian kes sebanyak 12,947 kes (86.25%).
Katanya, kejayaan itu melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) 90 dan 85 peratus yang ditetapkan bagi tahun lalu.
Bagi kes penagih berulang, iaitu tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, seramai 615 penagih berjaya ditangkap yang merupakan tangkapan ketiga tertinggi di negara ini.
“Bagi tindakan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK), Akta Dadah Berbahaya 1985, seramai 127 orang telah ditangkap, 124 daripadanya telah berjaya dikenakan perintah tahanan/sekatan/pengawasan. Ini bersamaan 97.63 peratus, melebihi sasaran KPI pada 86 peratus, merupakan pencapaian tertinggi berbanding pencapaian kontinjen lain di negara ini,” katanya. – UTUSAN