PIBG sedia sarapan, makan tengah hari untuk calon SPM, STPM - Utusan Malaysia

PIBG sedia sarapan, makan tengah hari untuk calon SPM, STPM

PIBG sedia sarapan, makan tengah hari untuk calon SPM, STPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Selain alat tulis sebagai keperluan menjawab soalan, calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di 11 buah sekolah menengah di bandar ini turut disediakan sarapan dan makan tengah hari sepanjang tempoh peperiksaan yang bermula esok.

Penyediaan keperluan itu dilaksanakan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di semua sekolah berkenaan selepas menerima sumbangan daripada Yayasan Perbandaran Kluang (YPK) berjumlah RM11,900.

Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (STAB) Tengku Aris Bendahara, Zulkifli Dahlan berkata, sarapan disediakan bagi semua pelajar menduduki peperiksaan SPM dan STPM, namun makan tengah hari hanya kepada mereka yang mempunyai kertas peperiksaan pada waktu petang.

Katanya, dengan adanya penyediaan makanan itu membolehkan semua pelajar tidak perlu bergegas untuk datang ke sekolah pada waktu pagi, manakala yang akan menduduki peperiksaan waktu petang boleh terus tinggal di sekolah menelaah pelajaran dan menikmati makan tengah hari sambil menunggu waktu menduduki peperiksaan tersebut.

“Pendekatan menyediakan sarapan dan makan tengah hari dilakukan berikutan sebahagian daripada calon tinggal jauh dari sekolah yang secara tidak langsung menyukarkan mereka berulang-alik pada waktu tengah hari selain perlu datang awal pagi.

“Diharapkan apa yang dilakukan ini akan memberi peluang kepada semua calon menumpukan perhatian terhadap peperiksaan yang dihadapi, seterusnya mencipta kejayaan,” katanya selepas menerima replika cek sumbangan disampaikan oleh Pengerusi YPK, Datuk Md. Jais Sarday.

Sebelum itu, Md Jais melakukan simbolik penyampaian sumbangan tersebut kepada Pegawai Pendidikan Daerah Kluang, Ali@Zainalabidin Said Mohamed di STAB, di sini.

Md. Jais berkata, idea untuk menyalurkan bantuan seumpama itu timbul berikutan musim monsun timur laut yang masih berlaku yang mampu mempengaruhi emosi calon sekiranya tanpa bekalan seperti makanan sebelum menduduki peperiksaan.

Seramai 1,667 pelajar di 11 buah sekolah menengah akan menduduki peperiksaan SPM mulai esok, manakala 621 penuntut STPM akan menjalani peperiksaan mereka tidak lama lagi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya