MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerima dua pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) bersempena penganjuran Pesta Gendang Nusantara 2024 yang berlangsung di Dataran Bandaraya MBMB di sini, malam tadi.
Kedua-dua anugerah itu disampaikan Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Woo kepada Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman sambil disaksikan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam serta Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Shadan berkata, pengiktirafan itu adalah bagi kategori `First Gendang Nusantara Performance’ atas penganjuran paling lama sejak 1995 dan ‘Most Performers in a Gendang Nusantara Performance’ membabitkan 550 peserta.
“Pesta kali ini mendapat penyertaan terbanyak membabitkan 32 kumpulan di mana sebanyak 11 kumpulan datangnya dari Malaysia, selain membabitkan lima negara mengambil bahagian iaitu dari Poland, Korea, Thailand, Indonesia dan Sri Lanka.
“Kali ini kita mendapat peserta paling ramai iaitu seramai 550 orang yang teramai setakat ini sejak 1995. Kehadiran penonton pula amat memberangsangkan seramai 10,000 orang membanjiri Dataran MBMB menyaksikan keunikan persembahan Gendang Nusantara terutama dari negara luar,” katanya.
Perasmian Pesta Gendang Nusantara telah disempurnakan Mohd. Ali dalam suasana penuh gilang-gemilang.
Tambah Shadan, pesta berkenaan akan terus diadakan setiap tahun dan MBMB akan menjemput lebih banyak negara pada tahun depan.
“Acara ini sebagai pembuka tirai Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 yang dilancarkan pada malam sambutan tahun baharu 2024 baru-baru ini,” jelasnya.