Pesara guru rentung, rumah terbakar waktu subuh - Utusan Malaysia

Pesara guru rentung, rumah terbakar waktu subuh

ANGGOTA bomba membuat pemeriksaan ke atas sebuah rumah yang musnah dalam kebakaran dan mengakibatkan penghuninya, Noorsiah Saharan ditemukan rentung di bawah timbunan atap zink.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang wanita warga emas ditemukan rentung di bawah timbunan atap zink apabila kediamannya musnah dijilat api awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian berlaku pukul 5.45 pagi menyebabkan rumah papan didiami Noorsiah Saharan, 78, yang terletak di kawasan terpencil di Parit Gaung, Parit Sulong dekat sini musnah dalam kebakaran itu. 

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan pesara guru hidup seorang diri di rumah berkenaan dan dipercayai cuba menyelamatkan diri berdasarkan kedudukan mayat ketika dijumpai. 

“Siasatan juga mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Walau bagaimanapun siasatan masih diteruskan oleh Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). 

“Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses bedah siasat serta pengecaman sebelum diserahkan kepada ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram, Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad berkata, tiada kerja-kerja pemadaman dijalankan kerana api telah padam ketika kejadian disedari oleh jiran mangsa. 

“Kejadian disedari oleh penduduk kampung kira-kira pukul 8.30 pagi dan pemeriksaan mendapati hampir 50 peratus keseluruhan rumah mangsa musnah dalam kebakaran itu. 

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya