Pesara fail permohonan paksa kerajaan segerakan pelarasan pencen - Utusan Malaysia

Pesara fail permohonan paksa kerajaan segerakan pelarasan pencen

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pesara kerajaan memfailkan permohonan bagi memaksa kerajaan menyegerakan pelarasan dan membayar tunggakan pencen.

Aminah Ahmad memfailkan permohonan semakan kehakiman itu hari ini melalui firma guaman, Tetuan Baljit Shukor di Mahkamah Tinggi di sini.

Kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dinamakan sebagai responden dalam permohonan terbabit.

Permohonan tersebut difailkan enam bulan selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pelarasan pencen tahunan sebanyak dua peratus secara `flat rate’ sejak Januari 2013 telah memberikan manfaat yang kurang kepada pesara kakitangan awam.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred tersebut. Peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu ketika dihubungi media mengesahkan perkara itu.

Menurut permohonan tersebut, Aminah memohon perintah mandamus (memaksa) terhadap kedua-dua responden untuk menyegerakan penyelarasan pencen kepada amaun kelayakan pencen mengikut formula yang terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Penyelarasan Pencen 1980.

MEMOHON

Aminah yang pernah bertugas di Kementerian Luar turut memohon agar tunggakan pencen itu dibayar kepada semua pesara dalam tempoh 14 hari atau dalam tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah.

Turut dimohon ialah kos atau relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 13 Januari 2022, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 adalah terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Rayuan memutuskan demikian atas alasan pindaan tersebut telah melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, keadaan semasa sebelum pindaan Seksyen 3 Akta Pelarasan Pencen 1980 akan terus diguna pakai.

Pada 27 Jun 2023, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Pada 6 Julai 2023, Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memperkenalkan mekanisme baharu bagi melindungi pesara kerajaan susulan keputusan mahkamah itu.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN