Pes laksa ‘Kola’ pertama di Perlis tarik perhatian - Utusan Malaysia

Pes laksa ‘Kola’ pertama di Perlis tarik perhatian

WAN Shariman Wan Ali menunjukkan pes laksa Kuala Perlis yang semakin mendapat permintaan daripada pelancong sewaktu berkunjung ke Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis, Perlis, semalam.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perkampungan nelayan, Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis terus menerima kunjungan luar biasa termasuk daripada pelancong dari luar negara ini.

Atas kesempatan itu, Wan Shariman Wan Ali, 56, bersama ahli keluarganya mengambil peluang menghasilkan pes laksa Kuala Perlis bagi memperkenalkan sajian yang sinonim dengan negeri ini kepada orang ramai.

Pes laksa ‘Kola’ yang diperkenalkan itu juga merupakan yang pertama di negeri ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wan Shariman berkata, pes Laksa Kuala Perlis sebelum ini amat jarang dikomersialkan dan pihaknya mengambil inisiatif itu bagi memasarkan sajian berkenaan secara meluas.

“Pelancong yang datang ke sini kebanyakan tertarik dengan pes yang dihasilkan ini malah mereka turut membelinya untuk mencuba sendiri kelainan laksa Kuala Perlis berbanding tempat lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Shariman berkata, pes yang dihasilkannya itu dipasarkan pada harga mampu milik iaitu RM15 sepeket dan boleh dinikmati oleh empat ke lima orang bagi satu hidangan.

Katanya, cara penyediaan sajian berkenaan juga adalah amat mudah di mana pengguna hanya perlu memanaskan pes itu bersama 600 milimeter air di dalam periuk.

“Kebanyakan pelancong atau pengunjung yang bercuti ke negeri ini pastinya merindui Laksa Kuala Perlis selepas pulang maka kami mudahkan mereka dengan pasarkan pes ini.

“Penyediaan pes ini juga membolehkan orang ramai khususnya anak-anak negeri ini yang merantau menikmati juadah laksa Kuala Perlis di mana-mana sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Shariman berkata, pes berkenaan dihasilkan sendiri oleh mereka sekeluarga dengan menggunakan teknologi retort (kaedah pensterilan) di samping turut melalui beberapa proses penyelidikan dan pembangunan (R&D)

Tambahnya, pes itu mampu bertahan selama 40 hari jika dibiarkan pada keadaan suhu bilik dan tempoh ketahanannya boleh bertambah sehingga tiga bulan jika disimpan di dalam peti sejuk beku.

“Setakat ini sambutan diterima amat baik malah kami juga sedang melakukan R&D bagi menambah beberapa produk lain untuk dipasarkan antaranya seperti pes sambal kerang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya