Pertembungan air bukit dan sungai, punca banjir di pekan Sungai Lembing - Utusan Malaysia

Pertembungan air bukit dan sungai, punca banjir di pekan Sungai Lembing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kejadian banjir kilat berlaku di pekan Sungai Lembing, dekat sini, lewat petang semalam didakwa berpunca daripada aliran air dari bukit sekitar kawasan tersebut.

Rata-rata penduduk di kawasan berkenaan turut berpendapat banjir tersebut bertambah buruk apabila berlakunya limpahan air sungai.

Bagi penduduk, Saleh Kidam, 81, pertembungan air bukit dan sungai memburukkan keadaan di pekan tersebut.

“Pada mulanya air bukit yang melimpah, selepas itu air sungai pula, jadi bila bertembung, tidak sampai setengah jam air mula naik mendadak.

“Ketika keluar mengharung air sekejap sahaja sudah berada di paras lutut… sementara nak tunggu polis datang tolong paras air dilihat semakin meningkat,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Lembing, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Saleh berkata, sejak menetap di Sungai Lembing kira-kira 43 tahun lalu, dia mengaku sudah lali berpindah ke PPS susulan kediamannya sering dilanda banjir.

Katanya, namun begitu banjir kali ini lebih mencabar buat dirinya yang merupakan seorang penghidap kanser.

Seorang lagi penduduk Mak Ah Mui, 74, berkata, dia bernasib baik kerana cepat membuat keputusan untuk berpindah ke PPS.

Katanya, tindakan itu selepas mendapat tahu kejadian banjir kali ini telah meragut nyawa seorang penduduk di kawasan terbabit.

Sementara itu, pegawai operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan, Mohd Lokman Hakim Abdullah berkata, pihaknya bersama semua agensi penyelamat terlibat sentiasa membuat pemantauan di kawasan dilanda banjir sejak petang semalam.

Katanya, hasil pemantauan beberapa laluan di Sungai Lembing masih tidak dapat dilalui oleh kenderaan sama ada ringan mahupun berat.

“Jadi, kita menasihatkan orang awam supaya berhati-hati ketika melalui kawasan jalan yang telah dinaiki air.

“Saya harap semua dapat mematuhi arahan-arahan semasa yang dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) ini,” katanya.

Setakat pukul 4 petang tadi, jumlah mangsa dipindahkan ke PPS adalah seramai 160 orang melibatkan 70 keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya