PEKAN: Mangsa banjir Felda Chini Timur 3 berharap banjir yang pertama kali berlaku dalam tempoh 35 tahun Felda itu ditubuhkan tidak lagi berulang.
Mangsa seorang warga emas orang kelajnan upaya (OKU), Razemi Embong, 64, serik apabila terpaksa tidur atas kerusi malas selama dua hari kerana mempunyai kesukaran untuk bangun jika tidur atas lantai.
Katanya, cukuplah sekali sahaja dia merasai pengalaman terbabit sekali gus berharap agar kejadian banjir seumpama itu tidak berulang.
“Selama ini saya hanya melihat orang lain berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Tidak sangka banjir tahun ini, saya pula terpaksa melaluinya.
“Memandangkan saya tidak boleh tidur di atas lantai, jadi mereka menyediakan kerusi malas untuk saya. Walaupun tidak selesa, namun saya terima keadaan terbabit,” katanya yang sudah setahun menggunakan kerusi roda untuk bergerak berikutan patah peha selepas terjatuh di rumahnya pada Disember 2022.
Dia juga merupakan seorang pesakit yang menghidap masalah Rheumatoid Arthritis, sejenis sakit sendi yang membataskan pergerakannya.
Bercerita pengalaman dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3, Razemi berkata, dia tidak menyangka rumahnya akan menjadi ‘pulau’ dengan banjir sekitar 1 meter.
“Rumah saya sebenarnya terletak di penghujung saliran air penempatan inj jadi memang kami sudah biasa melihat air yang membanjiri di sekitar rumah. Pada hari kejadian iaitu pada sekitar 8 malam 6 Januari itu, kami lihat hujan sangat lebat dan air semakin naik.
“Keesokannya, saya tengok rumah kami sudah macam pulau. Memang air selalu naik, tapi tidak setinggi itu. Anak-anak terus meminta agar saya dipindahkan ke PPS,” ujarnya.
Anak Razemi, Nurul Fatiha Mohd Yusom, 32, berkata, dia bersyukur kerana air banjir tidak melimpah ke dalam rumah sekali gus tidak gusar memikirkan barangan rumah yang rosak.