BUKIT MERTAJAM: “Seperti orang lain, saya juga ada buat simpanan air untuk kegunaan semasa kecemasan nanti. Tapi, jika simpanan ini gagal bertahan sehingga hari ketiga atau keempat, mungkin saya akan balik ke rumah keluarga saya di Parit Buntar (Perak).”
Itu kata seorang pekerja swasta, Badrul Amin Mat Rawi, 42, ketika ditanya mengenai persediaannya menghadapi gangguan bekalan air yang dijangka berlaku di seluruh Pulau Pinang selama beberapa hari bermula esok (Rabu).
Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia bagaimanapun bersyukur kerana sekolah tidak dibuka sepanjang tempoh gangguan itu berlaku kerana ia akan menyukarkan murid-murid yang masih kecil termasuk seorang daripada anaknya yang kini berada dalam Tahun Satu untuk menguruskan diri.
“Saya harap masalah gangguan air ini tidak akan berlarutan kerana ia akan menjejaskan semua pihak terutamanya peniaga makanan serta orang awam seperti saya,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Bagi peniaga kuih, Fatimah Badaruddin, 50, dia juga telah membuat persediaan awal dengan membeli beberapa tong atau bekas air yang besar untuk menyimpan air bagi kegunaan kecemasan nanti.
“Saya mungkin masih berniaga pada hari itu, tapi jumlah kuih yang akan dijual nanti mungkin akan dikurangkan.
“Pada masa sama, saya juga telah memberitahu pelanggan-pelanggan saya bahawa saya tak akan mengambil ‘order’ (pesanan) tambahan pada hari itu,” katanya yang menjual beberapa jenis kuih tradisional
Sementara itu, Abdul Halim Mat Hussin, 35, juga tidak ketinggalan untuk membuat persediaan awal dengan membeli bekas dan tong air serta berbotol-botol air minuman.
“Kalau nak ikut, saya tak mahu buat sebarang pembelian panik. Tapi, apabila nampak tong air serta air minuman semakin tak banyak di kedai-kedai runcit, maka saya pun jadi macam terikut-ikut pula,” katanya yang tinggal di Kubang Semang, dekat sini.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Bukit Mertajam mendapati, tong-tong dan bekas air serta air minuman laris umpama pisang goreng.
Seorang peruncit yang hanya mahu dikenali sebagau Ali, 48, memberitahu, dia terpaksa menambah stok barangan tersebut hampir setiap hari selepas mendapat permintaan yang tinggi daripada orang ramai.