Perlu usaha kenal, faham adat budaya berbilang kaum di Malaysia - Tuanku Muhriz - Utusan Malaysia

Perlu usaha kenal, faham adat budaya berbilang kaum di Malaysia – Tuanku Muhriz

TUANKU Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menganugerahkan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SUNS) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Aminuddin pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena ulang tahun hari keputeraan baginda Ke-76 yang diadakan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.-GAMBAR/JABATAN PENERANGAN NEGERI SEMBILAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah, semua ahli masyarakat perlu bersama-sama menolak elemen negatif yang boleh mengganggu gugat perpaduan dan keharmonian sosial.

Menurut baginda lagi, bagi menjamin kesejahteraan rakyat khususnya di negeri ini, kestabilan moral dan keharmonian sosial mengikut nilai-nilai agama harus terus diperkuatkan.

“Kita perlu berusaha untuk mengenali dan memahami adat serta budaya berbilang kaum di Malaysia. Oleh itu, beta menyeru kepada semua rakyat untuk mempertingkatkan tali persahabatan dan percampuran di kalangan masyarakat majmuk.

“Ia melalui pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, sukan dan kunjungan rumah terbuka. Ia akan memastikan semangat kebersamaan antara kita sentiasa teguh dan seterusnya mengekalkan perpaduan dan keharmonian,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena ulang tahun hari keputeraan baginda Ke-76 yang diadakan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.

Baginda dalam pada itu juga berpesan kepada semua pihak supaya sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan perubahan sama ada dari segi ekonomi, sosial mahupun iklim dunia. 

“Beta telah disembah maklum bahawa kerajaan beta telah membuat persediaan dengan mengukuhkan pengurusan kerajaan melalui inovasi dalam pentadbiran dan mengaplikasi teknologi terbaharu.

“Di samping itu, kerajaan juga telah merencana program-program tertentu yang bertujuan membantu rakyat membuat persediaan menghadapi ketidaktentuan ini,” jelas baginda lagi.

Tuanku Muhriz sementara itu, turut menzahirkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin. 

“Beta menyeru kepada semua untuk sama-sama menyatakan sokongan dengan pelbagai cara bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu Palestin,” titah baginda lagi.

Pada istiadat berkenaan Tuanku Muhriz turut berkenan mengurniakan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SUNS) kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu.

Baginda turut menganugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Sementara itu, Aminuddin ketika sembah ucapan tahniah dan taat setia memaklumkan, kerajaan Negeri Sembilan yang diketuai beliau hari ini bertambah kukuh dengan perubahan landskap politik negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu.

“Wadah politik melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan telah mengakibatkan gencatan politik beberapa parti utama di Malaysia. 

“Tempiasnya kerajaan pimpinan patik dapat menghirup udara politik yang lebih segar di Bumi Adat Perpatih ini. Alhamdulillah, berkat permuafakatan ini, rakyat di negeri dan negara ini hidup lebih aman berbanding adanya negara luar yang hidup dalam kancah peperangan dan mendambakan keamanan tiba,” kata beliau.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya