Perlis berpotensi besar dalam bidang semikonduktor - Utusan Malaysia

Perlis berpotensi besar dalam bidang semikonduktor

LIEW Chin Tong (kiri) bersalaman dengan Mohd Shukri Ramli (kanan) selepas mengadakan pertemuan di Pejabat Menteri Besar Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis mempunyai potensi besar bagi menerokai bidang semikonduktor secara meluas menerusi kerjasama dengan syarikat-syarikat bidang berkenaan yang kebanyakkan bertapak di Kulim, Pulau Pinang.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong berkata, kerjasama dengan syarikat terlibat mampu memberi limpahan ekonomi ke Perlis berikutan negeri ini juga mempunyai ramai pelajar dalam bidang semikonduktor khususnya dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Beliau berkata, Unimap yang menawarkan pembelajaran di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE) dan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik (FKTEN) mempunyai lebih 5,000 penuntut dan merupakan jumlah terbesar pelajar dalam bidang semikonduktor.

“Ini adalah kelebihan Perlis dan sekiranya kolaborasi bersama syarikat-syarikat berkaitan di Pulau Pinang dapat diperluaskan, ia akan membawa limpahan ekonomi ke negeri ini,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli di sini hari ini.

Terdahulu, Chin Tong turut berkesempatan mengikuti Majlis Pelancaran MYUS Autotech X Ebixon (EV Motocycles) di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Unimap di Pauh Putra, Arau.

Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, kerajaan negeri juga boleh menerokai industri halal khususnya di Selatan Thailand yang dilihat dapat membantu dalam membawa limpahan ekonomi ke Perlis.

“Produk halal kita ini bukan sahaja diiktiraf di seluruh dunia malah termasuk di Selatan Thailand dan ini adalah kelebihan yang boleh boleh diterokai selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, pertemuannya bersama Chin Tong itu adalah bertujuan bagi berkongsi pandangan dan perancangan khususnya dalam meningkatkan pelaburan ekonomi di Perlis.

Ujarnya, selain di kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), kerajaan negeri juga mempunyai potensi besar bagi meraih limpahan ekonomi di kawasan sempadan khususnya berkaitan pengeluaran produk halal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya