KUALA LUMPUR: Bekas penolong pegawai Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-Kom), Abdul Wahab Abd. Kader Jilani menyaman Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin bagi menuntut ganti rugi RM5 juta berhubung penyebaran video yang didakwa mengandungi perbualan lucah.
Abdul Wahab selaku plaintif memfailkan writ saman fitnah terhadap Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegubard selaku defendan pada 22 Disember 2023 di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini.
Tindakan saman itu susulan penyebaran video yang didakwa mengandungi perbualan lucah memaparkan plaintif dan individu yang kelihatan seperti bekas Ketua Pengarah J-Kom, Dr. Mohammad Agus Yusoff.
Dalam saman itu, Abdul Wahab menuntut RM5 juta sebagai ganti rugi teruk dan teladan serta perintah mahkamah untuk memaksa defendan mengeluarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu daripada semua platform media sosial, dan menghalang defendan daripada mengulangi kenyataan tersebut.
Sebelum ini, rakaman video berdurasi tiga minit dalam laman Facebook yang tular sejak 17 November 2023 menjadi topik hangat di media sosial, berikutan terdapat individu mirip Mohammad Agus bersama seorang lelaki.
Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab. – UTUSAN