Perbincangan 'G2G' dibuat atas kapal persiaran, Najib gunakan Jho Low - Utusan Malaysia

Perbincangan ‘G2G’ dibuat atas kapal persiaran, Najib gunakan Jho Low

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Percutian keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di atas kapal persiaran bertukar menjadi lokasi perbincangan usahasama diplomatik antara kerajaan sehingga mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung pinjaman dana dengan pengeluaran jaminan penuh Kerajaan kepada pinjaman tersebut.

Selain itu, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin ketika membaca penyataan saksinya turut berkata, bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut menggunakan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk mempengaruhi Lembaga Pengarah 1MDB.

“Perjumpaan percutian keluarga Datuk Seri Najib yang seterusnya bertukar kepada perbincangan usahasama diplomatik tidak melalui saluran perbincangan yang sah dan formal sehingga menyebabkan kerugian yang besar kepada negara.

“Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri sepatutnya tahu bahawa perbincangan usahasama G to G aras tertinggi seperti ini memerlukan saluran diplomatik yang sah dan bukannya berpunca daripada perbincangan tidak rasmi di atas kapal persiaran sahaja.

“Datuk Seri Najib telah menggunakan Jho Low dan Datuk Shahrol Azral untuk memaksa BOD melalui Tan Sri Bakke (bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh) supaya mengikut arahan dan juga saranan mereka dalam beberapa tindakan dan keputusan berkaitan dengan usahasama dengan PSI,”kata saksi pendakwaan ke-49 itu.

Pada perbicaraan sebelum ini, saksi pendakwaan kesembilan, Shahrol Azral dalam keterangannya menyatakan bahawa projek usahasama di antara 1MDB dengan PSI dicetus dan dibincangkan semasa Najib bercuti di South France di atas sebuah kapal layar bersama Putera Turki bin Abdullah pada Ogos 2009.

Bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail ketika memberi keterangan sebaai saksi pendakwaan ke-16 menyatakan, ketika bercuti di Selatan Perancis di atas sebuah kapal mewaj, Najib dan keluarga telah dijemput oleh Putera Saudi, iaitu Putera Turki berada di sebuah kapal lain yang berdekatan untuk minum petang.

Dalam pertemuan tersebut, Najib disambut oleh Putera Turki dan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Tarek Obaid (Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Ltd).

Wan Ahmad Shihab berkata, beliau diminta oleh Najib untuk mengambil gambar mereka di ruang tamu kapal berkenaan dan Jho Low pada ketika itu dilihat sudah berada di ruangan tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN