PASIR MAS: Sebanyak 12 keluarga asnaf yang menghuni Kampung Kelapa Wangi sini mengakui masih belum berkemampuan untuk menggantikan peralatan elektrik yang rosak selepas ditenggelami banjir pada Disember lalu.
Seorang penduduk Eza Mohd. Zain, 54, berkata, walaupun kesemua peralatan itu sudah disimpan di tempat yang tinggi namun barangan tersebut tetap ditenggelami air.
Menurutnya, setiap kali banjir paras air di kawasan itu melebih dua meter sekali gus mencecah bumbung rumah.
“Apa yang merisaukan saya ketika mesin tebu mengalami kerosakan. Hal ini kerana ia menjejaskan sumber pendapatan untuk menyara keluarga,” katanya ditemui pemberita semasa program penyerahan bantuan banjir dari Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Politeknik Jeli bersama Yayasan Raja Shamri (YRS) hari ini.
Seorang lagi penduduk, Rosmawati Che Teh, 46, memberitahu, dia sudah serik kehilangan harta benda saban tahun yang rosak akibat ditenggelami banjir.
Katanya, sehingga hari ini dia tidak menggantikan lagi mesin basuh selepas rosak selepas ditenggelami banjir 2017 lalu.
Sementara itu Penaung Puspanita Politeknik Jeli, Mohd. Daud Isa berharap bantuan bakul makanan itu diharap mampu meringankan beban kepada mangsa banjir yang terjejas.
Katanya, bantuan itu merupakan sebahagian program tangungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu komuniti setempat.-UTUSAN