GEORGE TOWN : Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan pelan A yang sedang dijalankan iaitu melibatkan kerja-kerja mengapit semula saluran paip bawah air di Sungai Perai berdepan kesukaran pada awal pagi tadi.
PBAPP berkata, penyelam berdepan kesukaran kerana keadaan arus air sungai yang deras.
“Penyelam menghadapi masalah untuk mengapit semula saluran paip bawah air pada awal pagi tadi.
”Penyelam tidak dapat meletakkan bahagian bawah pengapit berat dengan betul pada tempatnya untuk diikat,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, PBAPP sedang melaksanakan dua pelan tindakan respons kecemasan secara serentak iaitu melibatkan plan A iaitu melaksanakan kerja-kerja mengapit semula saluran paip 1,350mm.
Kon Yeow berkata, pelan B pula melibatkan kerja pembinaan dua saluran paip gantian 600mm baharu merentasi Sungai Perai untuk menggantikan bahagian saluran paip 1,350mm di dasar Sungai Perai yang bocor.
Bagaimanapun, sekiranya plan A tidak dapat dilaksanakan kira-kira 120,000 pengguna air di kawasan Barat Daya dan sebahagian pengguna di Timur Laut perlu bersedia berdepan gangguan bekalan air sekurang-kurangnya tujuh hari sehingga 30 Januari depan.
Menurut PBAPP, pihaknya sedang meneroka semua pilihan rasional untuk menyelamatkan Pelan A.
“Sehingga pukul 9.30 pagi ini, 50 peratus kerja pengapitan semula dilaksanakan.
“Namun pemulihan bekalan air kepada 84 peratus daripada 120,000 pengguna terjejas belum selesai,” katanya.
Habis