Penyakit berjangkit punca nombor dua penduduk Gaza mati

Penyakit berjangkit punca nombor dua penduduk Gaza mati

KANAK-KANAK Palestin menunaikan solat Jumaat di luar masjid di Gaza City, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peperangan berterusan akan mengundang malapetaka besar terhadap 2.3 juta nasib rakyat Palestin di Gaza apabila sistem kesihatan di wilayah itu lumpuh sehingga mengakibatkan wabak epidemik lebih agresif mudah menular, sekali gus meningkatkan kes kematian.

Hal itu disebabkan sejak peperangan yang bermula pada 7 Oktober tahun lalu, sebanyak 304 serangan tentera Israel disasarkan terhadap fasiliti kesihatan di Gaza dengan 94 daripada terjejas teruk.

Daripada jumlah itu, sebanyak 26 daripada 36 hospital di Gaza terpaksa berhenti operasi akibat kerosakan, ketiadaan bahan api dan ubatan-ubatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, sektor kesihatan di Gaza sebenarnya sudah pun runtuh khususnya di sebelah utara apabila hospital dan klinik di kawasan itu terjejas teruk.

Menurutnya, kekurangan bekalan perubatan, peralatan dan tenaga kerja yang menjadi sasaran rejim Zionis turut menyumbang kepada keruntuhan sistem kesihatan di Gaza.

“Apabila sistem kesihatannya runtuh, ia akan mengakibatkan penularan wabak epidemik dalam kalangan rakyat Palestin di Gaza. Selagi perang berlangsung, selagi itulah wabak terus menular dan mengakibatkan lebih banyak kematian.

“Pesakit kronik seperti jantung, buah pinggang, kanser yang kini tidak menerima rawatan dan ubat-ubatan seperti sebelum ini juga semakin ramai yang meninggal dunia,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan, perang Palestin-Israel menyebabkan masalah kesihatan berpanjangan yang teruk terhadap penduduk di Gaza.

Sejak pertengahan Oktober 2023, lebih 60,000 kes cirit-birit dilaporkan dengan lebih separuh membabitkan kanak-kanak di bawah usia lima tahun.

Selain itu, sebanyak 8,944 kes kudis buta; cacar air (1,005); ruam kulit (12,635); dan jangkitan saluran pernafasan (54,866) telah dilaporkan.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan Gaza turut melaporkan terdapat sekurang-kurangnya 30 kes hepatitis A di Khan Yunis sejak dua minggu dan dijangka melonjak apabila tempoh inkubasi virus tersebut mencapai tahap matang sekitar tiga minggu sehingga sebulan.

Mengulas lanjut Sharif berkata, baki sistem kesihatan di Gaza tidak mampu bertahan lebih lama dan bakal lumpuh sepenuhnya jika perang terus berlanjutan.

“Jika perang berterusan dengan bekalan perubatan yang amat terhad, kami menjangkakan lebih banyak wabak dan kematian dilaporkan di seluruh Gaza dalam masa terdekat ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya