SEREMBAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lori yang membawa muatan pasir dalam kejadian kemalangan yang berlaku di Jalan Pajam-Nilai-Salak berdekatan Taman Semarak, Nilai awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, mangsa yang berusia 47 tahun maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kejadian kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal dan sebuah lori jenis Nissan Diesel.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila lori yang sedang bergerak di lorong kanan telah melanggar motosikal yang ditunggang mangsa dari arah belakang.
“Akibat kejadian tersebut menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian. Setakat ini, pemandu lori terbabit masih belum tampil membuat laporan polis.
“Berikutan itu, kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Rosliza Mohd. Ludin di talian 010-4554359.-UTUSAN.